Malaysia bakal berdepan cabaran sukar untuk Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) ASEAN 2026.
Ini kerana pasukan itu akan berdepan cabaran Thailand dalam Kumpulan B. Ini berdasarkan sesi cabutan undi kejohanan yang diadakan di Medan, Indonesia yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Selain Thailand, Malaysia juga akan dicabar Singapura dan Brunei dalam kumpulan sama.
Tuan rumah, Indonesia turut berdepan cabaran getir dalam Kumpulan A. Ini kerana mereka berdepan cabaran satu lagi jaguh serantau, Vietnam.
Selain Vietnam, Indonesia juga akan dicabar Timor Leste dan Myanmar dalam kumpulan sama. Kumpulan C pula terdiri daripada Australia, Kemboja dan Filipina.
Untuk rekod, Malaysia pernah bergelar juara Kejuaraan B-19 ASEAN untuk edisi 2018 dan 2022. Malaysia juga pernah mara ke final sebanyak lapan kali.
Edisi 2024 menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di tangga keempat. Ini selepas pasukan negara yang ketika itu dibimbing Juan Torres Garrido tewas kepada Australia menerusi penentuan sepakan penalti.
Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 akan berlangsung di Medan, Indonesia dari 1 hingga 13 Jun ini.