Kejuaraan B-19 ASEAN: Malaysia Kalahkan Brunei Penuh Garang
MakanBola
ASEAN Boys Championship

Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) merekodkan kemenangan kedua dalam Kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 dengan menewaskan Brunei.

Selepas berjaya menewaskan Singapura dalam perlawanan pertama, anak buah Nafuzi Zain mahu meneruskan momentum apabila bertemu dengan Brunei.

Abid Safaraz Rozaidi dan Arayyan Hakeem Norizam terus menjadi sandaran bekas jurulatih Terengganu FC itu untuk merobek gawang lawan.

Sebaik perlawanan bermula, Malaysia berusaha mencari gol awal menerusi Abid Safaraz dan Arayyan Hakeem. Ini memaksa penjaga gol Brunei, Safwan Aflie Md Shahrin bekerja keras menafikan asakan kem negara.

Gol yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-22. Pemain Brunei, Mahmud Khalish Zaifulizham bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri.

Gol tersebut memberi suntikan semangat kepada anak buah Nafuzi untuk memburu gol tambahan. Gol kedua hadir pada minit akhir babak pertama.

Arsyad Shamsul Aswadi menanduk bola hantaran Arayyan yang menewaskan Safwan Aflie. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Brunei memperkemaskan rentak permainan bagi mengelakkan gawang mereka dibolosi lagi.

Situasi ini mendorong Nafuzi memasukkan beberapa pemain dengan tujuan menambah sengat pada jentera serangan skuad muda Malaysia.

Tekanan demi tekanan yang dikenakan Malaysia akhirnya membawa kepada gol ketiga dan keempat yang disudahkan Ierfan Hafizan Hafiz dan Irfan Aswad Roslan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia menerajui Kumpulan B dengan enam mata.

Kedudukan ini dijangka berubah apabila Singapura dan Thailand berentap dalam satu lagi aksi kumpulan. Malaysia akan menentang Thailand dalam aksi terakhir kumpulan pada 8 Jun.

Jika Malaysia berjaya bergelar juara kumpulan atau pasukan kedua terbaik, skuad negara akan beraksi di peringkat separuh akhir pada 11 Jun.

Claim Money Packet TnG