Pasukan Liga Super, Terengganu FC dalam misi mencari pengganti jurulatih baharu.
Bekas jurulatih skuad Peteh, Tomislav Steinbruckner telah berpisah dengan pasukan selepas hampir dua tahun bersama.
Hal ini susulan prestasi kurang memberangsangkan anak buahnya terutamanya dalam saingan Asean Shopee Cup 2024.
Berikut merupakan tiga calon jurulatih luar negara sekiranya Terengganu membuat keputusan untuk mengekalkan ‘DNA Croatia’ bersama pasukan.
3-Igor Stimac (Ejen Bebas)
Bekas pengendali India ini merupakan antara watak penting pasukan sejak tahun 2019.
Jurulatih berusia 57 tahun ini pernah membimbing beberapa pasukan seperti NK Zadar, Sepahan, Al-Shahania selain pernah mengemudi pasukan kebangsaan Croatia pada tahun 2012-2013.
Beliau mengharungi 53 perlawanan bersama pasukan kebangsaan India dan membantu mereka menduduki tangga ke-125 dunia sebelum melepaskan jawatan.
India juga pernah menembusi kelompok 90 pasukan terbaik dunia ketika dikendalikannya.
2- Petar Segrt (Ejen Bebas)
Jurulatih sensasi Asia ini dekat dengan penyokong Malaysia kerana pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Tajikistan.
Pengendali berusia 58 tahun itu sudah pun sebati dengan bola sepak Asia Tenggara apabila mengendalikan pasukan seperti Bali Devata dan PSM Makassar di Indonesia.
Sepanjang dua tahun membimbing Tajikistan, Petar Segrt telah membantu negara Asia Tengah itu untuk merangkul King’s Cup pada tahun 2022 dan Pestabola Merdeka 2023.
1-Bojan Hodak (Persib Bandung)
Bojan Hodak merupakan nama yang dekat dengan peminat Asia Tenggara khususnya di Malaysia.
Jurulatih berusia 53 tahun itu menghabiskan sebahagian besar kariernya di Malaysia bersama JDT, Kelantan, Malaysia B-19 dan juga KL City.
Beliau kini berkelana di Indonesia bersama Persib Bandung dan membantu pasukan untuk muncul juara Liga 1 pada musim lalu.
Pada musim 2024/25, Hodak merekodkan 5 kemenangan dan 5 seri bersama Persib dalam kancah liga sementara satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan di ACL2.
Tugas jurulatih Terengganu kini dipangku oleh Badrul Afzan dan dibantu oleh Hairuddin Omar dalam misi meneruskan perjuangan pasukan.