Advertisement
Kelab Belgium Tak Lepaskan Suphanat Mueanta Berdepan Jepun
Asia Tenggara
MakanBola
OHL

Thailand mendapat tamparan hebat apabila tidak dapat menggunakan khidmat Suphanat Mueanta untuk aksi persahabatan menentang Jepun pada 1 Januari ini.

Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menerusi satu hantaran di laman media sosial Changsuek hari ini.

Kelab Suphanat iaitu Oud-Heverlee Leuven memaklumkan tidak dapat berbuat demikian memandangkan mereka masih ada baki dua perlawanan Belgian Pro League sebelum rehat musim sejuk.

Dua perlawanan tersebut ialah KAA Gent yang berlangsung pada awal pagi esok dan Eupen (26 Disember).

Selain itu, pengendali baru OHL dari Sepanyol, Oscar Garcia mahu menggunakan peluang untuk mengenali semua pemain termasuk Suphanat sebelum membuat sebarang langkah dalam tetingkap perpindahan Januari.

Susulan itu, jurulatih baru Thailand, Masatada Ishii memanggil pemain tengah Port, Worachit Kanitsribampen sebagai pengganti beliau.

Walaupun sedikit terkilan tidak dapat menggunakan khidmat Suphanat, Ishii memahami tindakan OHL. Beliau berharap tempoh tersebut dapat mematangkan lagi beliau sebelum kempen Piala Asia 2023.

“Untuk Bank (nama gelaran Suphanat), kita telah bekerjasama di Buriram. Saya tahu cara permainan beliau. Sudah tentu kehadirannya bagus untuk pasukan tetapi kami memahami situasi Bank.

“Jadi, beliau ada di sana untuk memperbaiki diri dari segi keadaan fizikal dan kualiti permainannya. Ia akan bermanfaat kepada skuad kebangsaan Thai terutama dalam Piala Asia. Kita akan dapatkan Bank untuk membantu pasukan.

“Dan Worachit (Kanitsribampen) juga beraksi cemerlang semasa menentang Buriram. Ini akan jadi kerjasama kita yang pertama dan kita akan berpeluang mengenali antara satu sama lain,” katanya hari ini.

Suphanat sudah merekodkan 14 penampilan di pentas antarabangsa bersama Thailand. Tempoh tersebut menyaksikan beliau menjaringkan enam gol dan satu bantuan gol.