Kelab Indonesia Terlepas Khidmat Jurulatih Malaysia
MakanBola
FA Malaysia

Sebuah kelab Indonesia terlepas peluang mendapatkan khidmat jurulatih skuad bola sepak wanita Malaysia bagi menghadapi baki kempen liga negara itu.

Sebelum ini, nama Joel Cornelli dikaitkan dengan khabar angin kerusi panas membabitkan Madura United. Ini disebabkan beliau pernah membimbing Arema pada 2024.

IndonesiaKini melaporkan usaha Madura merekrut Cornelli tidak kesampaian. Ini disebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih memerlukan khidmat jurulatih Brazil itu.

Hal ini disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PT Polana Bola Madura Bersatu (PBMB), Annisa Zhafarina

Annisa memaklumkan pengurusan Madura berusaha mendapatkan khidmat Cornelli termasuk mengatur urusan visa.

Walau bagaimanapun, usaha mereka ditolak FAM atas alasan Malayan Tigress bakal menghadapi pelbagai kejohanan untuk tahun 2026.

FAM melihat khidmat bekas jurulatih Arema itu masih lagi diperlukan untuk membentuk skuad bola sepak wanita negara yang mantap di peringkat antarabangsa.

Susulan itu, Annisa memaklumkan Madura kini fokus mencari jurulatih baharu bagi menghadapi baki kempen musim ini.

Tugas kejurulatihan kelab itu kini dipangku jurulatih sementara, Rakhmat Basuki sementara pencarian jurulatih baharu berjalan.