Kelab Liga K2 Korea Selatan, Busan I-Park baru-baru ini telah mengumumkan perpindahan bintang pasukan, Lee Tae-min yang mengambil keputusan menyertai pasukan Liga Super, Perak FC.
Pemain sayap muda berusia 20 tahun itu walau bagaimanapun belum diumumkan secara rasmi sebagai pemain Perak yang baru.
“Lee Tae-min bakal ke Malaysia dan menyertai Perak FC dalam masa terdekat,” umum Busan I-Park di laman Facebook.
Mampu beraksi di pelbagai posisi seperti sayap dan penyerang, Tae-min dijangka akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Seo Seonung yang dilepaskan Perak sebagai pemain import kuota Asia.
Melihat kepada statistik yang dicatatkan Tae-min musim lalu, pemain sayap itu telah merekodkan lima penampilan bersama pasukan simpanan Busan I-Park yang bersaing di Liga K4 dengan tiada jaringan yang berjaya dicatatkan.
Untuk rekod, Lee Tae-min pernah menyarung jersi skuad bawah 17 tahun Korea Selatan pada tahun 2020 dengan satu jaringan berjaya dicatatkan.