Pemain pertahanan Singapura, Ryhan Stewart kembali berkelana ke luar negara apabila menerima tawaran kelab Lithuania, FK Riteriai.
The Straits Times melaporkan Ryhan telah memeterai kontrak dua tahun dengan kelab itu. Perpindahan tersebut telah dimuktamadkan pada 15 Mac lalu.
Perpindahan Ryhan ke Riteriai diatur bekas pemain kebangsaan Singapura, R. Sasikumar. Sasikumar kini dalam proses mendapatkan kelab itu menerusi entiti Red Card Global.
Apabila ditanya tentang matlamatnya selepas menyertai kelab itu, Ryhan berharap dapat beraksi dalam kesebelasan utama Riteriai.
“Sasaran pertama saya ialah rebut tempat dalam kesebelasan utama. Saya mahu bermain sekerap yang boleh dan memberi persembahan yang baik untuk membantu pasukan meraih kedudukan terbaik.
“Harapnya, kita dapat layak beraksi dalam kejohanan kelab Eropah,” katanya.
Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura turut menyambut baik perpindahan Ryhan ke Riteriai. Ini kerana perpindahan tersebut mampu menjadikan beliau pemain yang lebih baik selepas ini.
“Amat penting negara dan liga mana yang mereka tuju, begitu juga dengan bilangan perlawanan dan minit permainan mereka,” katanya.
“Mereka menjadi orang asing dan harus berjuang untuk mendapatkan tempat yang terhad, ini bagus untuk menjadikan mereka kekal kompetitif.
“Ini bagus untuk pemain Singapura untuk pergi ke luar negara kerana mereka merasai pengalaman budaya, bahasa, corak permainan dan persekitaran berbeza yang boleh memberi nilai tambah kepada skuad kebangsaan.”
Ryhan menjadi pemain Singapura terbaru beraksi di Eropah. Beliau mengikut jejak Khairin Nadim (Vizela) dan Nur Muhammad Asis (Estrela da Amadora).
Sebelum ini, nama Ilhan Fandi, Ikhsan Fandi dan Fandi Ahmad menjadi inspirasi kepada ramai pemain Singapura untuk berkelana di Eropah.