Advertisements
Kelab Thailand Nyaris Malukan Leicester City
Asia Tenggara
MakanBola
Leicester City

Bekas juara EPL, Leicester City nyaris dimalukan kelab Thai League 1, Port sebelum menewaskan pasukan itu 1-0 dalam aksi pra-musim tertutup di Kem Latihan Bola Sepak Alpine semalam.

Aksi persahabatan pra-musim ini diatur selepas perlawanan pra-musim sebelumnya membabitkan The Foxes dan Tottenham Hotspur pada 23 Julai lalu dibatalkan.

Pembatalan perlawanan terpaksa dilakukan kerana keadaan padang Stadium Rajamangala digenangi air dan cuaca buruk ketika itu.

Leicester yang dibimbing bekas penolong jurulatih Manchester City, Enzo Maresca menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke-10 menerusi Wilfred Ndidi.

Port Lions beberapa kali menguji gawang The Foxes yang dikawal penjaga gol Denmark, Mads Hermansen. Peluang terbaik mereka hadir menerusi pemain import Iraq, Frans Putros pada minit ke-14 tetapi percubaannya berjaya disekat Hamza Choudhury.

Bersambung pada babak kedua, Leicester hampir menambah koleksi gol mereka menerusi Patson Daka dan Kiernan Dewsbury-Hall tetapi berjaya dihalang penjaga gol Port, Sumethee Khokpho.

Selepas ini, The Foxes bakal menentang Liverpool di Singapura untuk aksi pra-musim seterusnya pada 30 Julai ini.