Kelab dari Turki, Konyaspor baru-baru ini telah mencuri perhatian ramai apabila penyokong kelab tersebut menaikkan tifo gergasi demi menyatakan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin.
Di tifo tersebut terpapar foto anak kecil yang terbaring bersama anak patung di celah-celah bangunan yang telah runtuh. Satu mesej jelas telah disampaikan iaitu “Kekal senyap apabila anak-anak sedang tidur, tapi bukannya apabila mereka mati”.
Difahamkan tifo tersebut dinaikkan penyokong Kanyaspor ketika perlawanan Liga Super Turki yang mana menyaksikan Konyaspor mengalami kekalahan 1-2 kepada pasukan pelawat, Pendikspor semalam.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama penyokong Konyaspor menaikkan tifo unik demi Palestin kerana sekitar 2017, penyokong Konyaspor turut menaikkan tifo 3D yang memaparkan gambar Masjid Al-Aqsa.
Konflik ketegangan di antara Palestin dan Israel kini memuncak dengan lebih 5 ribu nyawa rakyat Palestin dilaporkan terkorban. Konflik ini bukan sahaja mengorbankan banyak nyawa, malah jadual bola sepak Palestin juga tergantung.
Palestin pada awalnya menyatakan persetujuan untuk menyertai Pestabola Merdeka bersama-sama Malaysia, India dan Tajikistan. Namun disebabkan peperangan yang berlaku, Palestin terpaksa menarik diri pada saat akhir.