Kelab UCL Ucap Tahniah Buat Sabah
MakanBola
Sabah FC

Kelab Azerbaijan, Sabah FK menzahirkan ucapan tahniah kepada Sabah FC atas permulaan baik pasukan itu dalam Liga Super musim ini.

Ucapan tersebut dizahirkan pendatang baharu Liga Juara-Juara UEFA (UCL) itu kerana menghargai ucapan tahniah Sabah atas pencapaian layak ke kejohanan tersebut.

Ucapan tahniah barisan pemain Sang Badak disiarkan di semua platform rasmi pasukan itu. Antara yang berbuat demikian ialah pemain sayap Korea Selatan, Park Jung-bin dan penyerang Harimau Malaya, Darren Lok.

Sebaik video tersebut disiarkan di platform Instagram, Sabah FK meninggalkan ucapan penghargaan di ruang komen juara MFL Challenge Cup musim lalu itu.

“Salam dari Baku. Terima kasih atas video dan ucapan-ucapan anda yang baik! Kami juga mengikuti anda – dua kemenangan daripada dua perlawanan dalam liga musim ini! Teruskan perjuangan dan selamat berjaya!” katanya.

Tangkap layar komen tersebut tular di media sosial dan dikongsikan ramai peminat bola sepak. Salah seorang yang berkongsi tangkap layar Sabah FK ialah bekas editor Astro Arena, Lee Seng Foo.

Sabah FK Sabah FC Lee Seng Foo Kelab UCL Ucap Tahniah Buat Sabah
Ucapan tahniah Sabah FK kepada Sabah FC. Sumber: Sabah FC.

“Dan kelab Sabah FK dari Azerbaijan sebenarnya membalas (video penghargaan pemain-pemain Sabah) di ruang komen. Sangat suka melihatnya,” katanya di X.

Sabah FK layak ke fasa liga UCL selepas menyingkirkan wakil Israel, Hapoel Be’er Sheva dalam aksi playoff baru-baru ini. Salah satu pasukan yang bakal dihadapi kelab Azerbaijan itu dalam fasa ini ialah kelab gergasi England, Manchester United.