Nama Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bakal lebih dikenali di Korea Selatan selepas menjalin kerjasama dengan CHS Football Korea.
Pengumuman kerjasama ini diumumkan pengurusan Kijang Emas di platform media sosial rasmi pasukan itu hari ini.
Pemeteraian perjanjian diadakan di pejabat urusan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.
Presiden kelab, YB Rozi Muhamad mewakili pengurusan Kijang Emas. Sementara CHS Football Korea pula diwakili oleh pemilik syarikat, Son Jin-young.
CHS Football Korea merupakan pemilik kelab yang bersaing dalam saingan K4 League, FC Sejong.
Menerusi kerjasama ini, Kelantan dan CHS Football Korea akan mengadakan program pertukaran pemain Bawah 20 tahun (B-20) dan 23 Tahun (B-23) serta pengembangan bakat hingga ke Korea Selatan.
Malah, kedua-dua entiti dijangka berkongsi kepakaran dan kejurulatihan terutama dari segi latihan dan ilmu kejurulatihan.
Rozi percaya menerusi kerjasama ini, ini akan membantu Kelantan meningkatkan mutu bola sepak negeri itu dan Malaysia amnya.
“Melalui perjanjian ini, pihak KDN FC berharap ianya boleh menaikkan lagi mutu industri bola sepak Kelantan serta Malaysia khususnya,” katanya.
Sebelum ini, nama Kelantan menjadi sebutan di bumi Korea Selatan selepas melantik jurulatih negara itu, Park Jae-hong.