Dengan Liga Super bakal bermula pada minggu hadapan, kelab-kelab mula memperagakan jersi yang bakal disarung mereka. Terbaru, Kelantan memperkenalkan jersi home, away dan ketiga mereka di Karnival The Red Warriors Day di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.
Kesemua jersi yang dihasilkan oleh 93 Sports dilihat mempamerkan rekaan yang unik ditambah dengan pemilihan warna yang berbeza iaitu oren dan ungu untuk jersi away dan ketiga.
Sementara jersi home pula meletakkan logo Kelantan di bahagian tengah menjadikan ia mirip dengan jersi-jersi sesetengah pasukan Eropah. Selain itu, ia masih mengekalkan warna merah dan corak belang yang sinonim sebagai jersi tuan rumah The Red Warriors sejak beberapa musim.
Kesemua jersi ini diperkenalkan dalam majlis pelancaran jersi Kelantan musim 2023 bersempena Karnival The Red Warriors Day.
Selain pelancaran jersi, pengurusan Kelantan turut memperkenalkan barisan pemain yang bakal mengetuai cabaran pasukan musim ini. Ini termasuk awang-awang import baru termasuk duo Korea Selatan, Kim Ming-kyu dan Kang Eui-chan.