Pasukan Liga Super, Kelantan Darul Naim memberi fokus untuk bersaing secara sengit berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kelantan Darul Naim (KDN FC) menerusi satu kenyataan telah meletak sasaran untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
Hal ini selepas pasukan Pantai Timur itu berjaya mendapatkan beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bermula 26 Ogos lalu.
“Pihak pengurusan KDN FC bertekad untuk kembali memberikan cabaran di Liga Super dan dalam masa yang sama enggan lagi tercicir mata ketika liga dijangka semakin sengit selepas beberapa pasukan turut membuat perubahan dalam tempoh perpindahan.
Skuad kendalian Park Jae-hong telah merekrut lima muka baharu termasuk dua tenaga import dari Palestin serta Myanmar selain memilih untuk melepaskan tiga import sebelum ini.
Dua import yang baru diambil, Layth Kharoub dan Aung Kaung Mann beraksi di posisi serangan manakala dua pemain tempatan, Hakimi Abdullah serta Muhaimin Izzudin pula bakal membantu Oday Kharoub mengemudi jentera tengah.
Kelibat penjaga gol berbakat, Fikri Che Soh turut dibawa pulang secara tetap dari Kedah Darul Aman FC bagi memberikan cabaran kepada penjaga gol sedia ada sekaligus berjuang merebut posisi nombor satu KDN FC.
Pihak pengurusan juga menagih perubahan dari segi corak permainan dan taktikal setelah kelab juga telah berusaha membuat perubahan dalam senarai pemain.
“Maka perlawanan selepas ini bermula menentang JDT FC, walau sukar untuk mencapai sesuatu yang positif tetapi wajib diberi tentangan sengit.
“Setelah itu, KDN FC akan ke Negeri Sembilan FC dan tiada alasan lagi untuk mendapat kekalahan,” ujar kenyataan kelab.