Selepas beberapa siri dakwaan yang dibuat ejen bola sepak dari Korea Selatan, Jeong Myeong-ho berkenaan pasukan Kelantan, pengurusan The Red Warriors (TRW) membuat penjelasan hari ini. Mereka menyifatkan tuduhan yang dilemparkan ejen kepada jurulatih Choi Moon-sik itu sebagai palsu dan fitnah.
Pengurusan kelab percaya semua tuduhan ini dibuat bagi menutup kelemahan bekas jurulatih Daejeon Citizens itu. Selain itu, pengurusan TRW mengambil serius semua tuduhan yang dinyatakan dari penginapan Moon-sik hinggalah tunggakan gaji dan makanan yang diberi kepada pemain.
“Individu terbabit (Jeong) memuat naik di dalam media sosialnya kononnya pihak Kelantan FC tidak menyediakan penginapan yang bersesuaian dan selesa kepada bekas ketua jurulatih dengan menunjukkan gambar keadaan sinki dalam tandas yang pecah.
“Bagaimanapun hasil daripada bukti dalam simpanan Kelantan FC didapati keadaan sinki yang didakwa rosak dan tidak selesa itu adalah sebenarnya dalam keadaan baik dan sesuai digunakan untuk kegunaan harian semasa serahan penginapan kepada bekas ketua jurulatih.
“Individu itu juga memuat naik gambar yang didakwa makanan yang disediakan Kelantan FC kepada pemain yang kononnya hanyalah sekadar nasi dan ayam sahaja.
“Namun, mengikut bukti simpanan Kelantan FC, pemain Kelantan FC disajikan dengan makanan seimbang cukup dengan karbohidrat seperti nasi dan spegeti, protein daripada ayam dan vitamin daripada buah-buahan,” kata pasukan undang-undang Kelantan dalam satu kenyataan di Instagram rasmi kelab hari ini.
Dan seperti dinyatakan pemilik kelab, Norizam Tukiman sebelum ini, pengurusan TRW turut menafikan mempunyai masalah tunggakan gaji dua bulan. Malah, Kelantan sentiasa memastikan isu gaji pemain sentiasa diselesaikan bagi menjaga kebajikan semua pemain dan pegawai kelab.
“Individu tersebut juga berulang kali menuduh Kelantan FC gagal membayar gaji pemain dan pegawai kelab yang telah tertunggak dua bulan.
“Hakikatnya, dakwaan ini adalah dakwaan palsu di mana adalah kelab sangat komited terhadap isu gaji pemain, membuat bayaran penuh gaji kepada pemain dan tidak akan membiarkan sebarang tunggakan gaji melebihi dua bulan seperti dakwaan individu itu,” tambahnya.
Sehubungan dengan itu, pengurusan TRW sedang menimbang tindakan perundangan yang sesuai terhadap Myeong-ho bagi menghentikan semua tuduhan yang dilemparkan. Kelab juga tidak teragak-agak akan mengambil tindakan sama ke atas mana-mana individu yang cuba memburukkan imej TRW.
“Kelantan FC juga ingin mengingatkan kepada pengguna media sosial tempatan untuk berhenti menyebarkan tuduhan daripada individu terbabit dan tidak menyebarkan sebarang fitnah kepada Kelantan FC.
“Pihak Kelantan FC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama baik kelab dengan fitnah liar dan bersifat jahat,” ujarnya.