Kekalahan terbaru 4-2 di tangan Negeri Sembilan tempoh hari sememangnya mengecewakan ramai penyokong Kelantan. Tetapi bagi pemilik Kelantan, Norizam Tukiman, beliau masih percaya pasukan itu mampu mencapai kedudukan 10 terbaik Liga Super musim ini.
Beliau tahu ramai kecewa dengan kemajuan pasukan yang dibimbing Choi Moon-sik itu. Ini kerana Kelantan setakat ini hanya mengumpul empat mata dari enam perlawanan dengan empat kekalahan termasuk kekalahan di Paroi.
Malah, hal tersebut turut dibincangkan dengan barisan kejurulatihan pasukan bagi mengenalpasti cara membantu The Red Warriors (TRW) bangkit semula.
“Terima kasih pada semua pandangan dan kritikan membina dari ‘fans’. Saya sangat suka. Mana yang baik saya ambil nota dan minta team berikan perhatian.
“Banyak ‘fans’ yang ikhlas nak lihat TRW maju di Liga Super. Tadi ni juga saya baru selesai ‘online’ meeting dengan ‘team coaches’. Semua prihatin dan saya ambik berat akan team TRW. Insha Allah target saya untuk Top 10 pada pusingan pertama masih relevan.
“Biarlah apa orang nak kata, yang penting saya bina semula sesuatu yang dah karam, perlahan tapi Insha Allah pasti berjaya akhirnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Begitupun, Kelantan bakal berdepan tugas sukar esok kerana berdepan dengan Terengganu dalam perlawanan ‘derby’ Pantai Timur.
Dengan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner ghairah memburu kemenangan buat kali ketiga, TRW pastinya mahu menyekat hajat tuan rumah daripada tercapai. Ketika ini, Kelantan menduduki tangga ke-11 liga dengan empat mata selepas enam perlawanan.