Skuad hoki wanita Malaysia memulakan kempen kelayakan Sukan Olimpik Kumpulan B dengan langkah kiri apabila kalah besar 7-0 di tangan Sepanyol.
The Speedy Tigress yang dibimbing oleh jurulatih Nasihin Nubli Ibrahim tahu mereka memerlukan keputusan positif dalam perlawanan pertama untuk mencerahkan peluang layak ke separuh akhir.
Bagaimanapun, Sepanyol menjanjikan ujian getir buat anak buah Nasihin disebabkan statusnya sebagai pasukan nombor lapan dunia mengikut ranking terkini Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Suku pertama menyaksikan Malaysia kehilangan Juliani Mohamad Din selama dua minit selepas dilayangkan kad hijau oleh pengadil pada minit keempat.
Sepanyol kemudiannya mendapat pukulan penalti pada minit sama tetapi gagal menyudahkan peluang tersebut. Enam minit selepas itu, mereka diberi satu lagi pukulan penalti tetapi berjaya dinafikan barisan pertahanan The Speedy Tigress.
Suku kedua menyaksikan skuad negara terus berdisiplin mengawal pertahanan mereka. Taktik tersebut mengakibatkan banyak serangan yang cuba direncana Sepanyol gagal.
Kesungguhan mereka memburu gol akhirnya membuahkan hasil apabila Patricia Alvarez menyumbat gol pada minit ke-30. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, Sepanyol yang dibimbing Cuenca Garcia terus meningkatkan asakan ke atas gawang skuad negara yang dikawal Nur Hazlinda Zainal Abidin.
Pasukan nombor lapan dunia itu perlu menunggu sehingga minit ke-37 untuk menambah jaringan kedua menerusi Belen Iglesias.
Maria Lopez memastikan kedudukan Sepanyol sukar dicabar The Speedy Tigress menerusi pukulan penalti pada minit ke-41.
Iglesias menambah gol kedua peribadinya menerusi gol padang pada minit ke-52. Alvarez mencipta hatrik dengan menyumbat dua gol pada minit ke-56 dan 57 perlawanan.
Beatriz Perez melengkapkan kecemerlangan Sepanyol dengan gol ketujuh pada minit akhir perlawanan.
Keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Sepanyol mendahului Kumpulan B di hadapan Great Britain menerusi kelebihan jaringan.
Malaysia selepas ini perlu menang ke atas Kanada dalam aksi Kumpulan B seterusnya yang berlangsung esok. Ini kerana hanya kemenangan yang dapat menghidupkan peluang mereka mara ke separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik 2024.