Skuad hoki Malaysia bakal berdepan kesukaran dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 pada Januari tahun hadapan.
Ini kerana mereka diletakkan dalam Kumpulan B bersama dua pasukan gergasi hoki dunia, Jerman dan Pakistan.
Perkara ini diumumkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka hari ini.
Selain dua pasukan itu, The Speedy Tigers juga perlu mengatasi cabaran China, Chile, Kanada dan Great Britain.
Pertemuan dengan China dan Pakistan dijangka menarik kerana kedua-dua pasukan ini menafikan cita-cita skuad negara memenangi pingat emas Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.
China menafikan hajat skuad negara ke separuh akhir selepas mengikat anak-anak buah Arul Selvaraj 4-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Sementara Pakistan memastikan Malaysia berpuas hati di tempat keenam dengan mengalahkan mereka menerusi keputusan 5-2.
Skuad hoki wanita negara turut berdepan nasib sama apabila diundi bersama dua pasukan gergasi hoki wanita, Belgium dan Sepanyol dalam Kumpulan B.
Selain tiga pasukan ini, Kumpulan B turut dianggotai Great Britain, Korea Selatan, Ireland, Kanada dan Ukraine.
Pusingan kelayakan hoki lelaki dan wanita ini bakal berlangsung dari 13 hingga 21 Januari 2024.
Tiga pasukan teratas bagi empat pusingan kelayakan Sukan Olimpik akan layak secara merit ke temasya berprestij itu.