Kelayakan Hoki Piala Dunia: England Sekat Malaysia Ke Final
UltraSukan
FIH

Malaysia terlepas peluang mara ke final kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 apabila tewas kepada England dalam aksi separuh akhir di Ismailia, Mesir.

Anak buah Sarjit Singh sedar mereka perlu menang jika mahu layak secara merit sebagai tiga pasukan terbaik kelayakan.

Meskipun begitu, mereka perlu melepasi cabaran England di peringkat separuh akhir. England bukan calang-calang pasukan disebabkan status sebagai pasukan keempat dunia.

Atas sebab itu, The Speedy Tigers berusaha mengekang serangan anak buah Robert van der Horst sebaik perlawanan dimulakan.

England terpaksa menunggu sehingga minit ke-19 untuk membuka tirai jaringan menerusi pukulan penalti Sam Ward.

England terus meningkatkan tekanan untuk mendapatkan gol tambahan. Walau bagaimanapun, gawang negara yang dikawal Hafizuddin Othman memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, England meningkatkan tekanan untuk mendapatkan gol tambahan. Samuel Hopper menggandakan kelebihan menerusi pukulan penalti pada minit ke-36.

Thomas Sorsby dan Stuart Rushmere masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-42 dan 43.

Penyerang negara, Faizal Saari mengurangkan defisit gol pada minit ke-50. Wallace Zachary memulihkan kelebihan empat gol England dengan gol pada minit ke-54.

Stuart Rushmere menyumbat gol keenam pada minit ke-59. Hopper memastikan kemenangan bergaya England dengan gol pada minit ke-60.

Skuad negara berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 7-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Malaysia akan berdepan Jepun atau Pakistan untuk penentuan tempat ketiga.