Kelayakan Piala Asia B-20: Indonesia Tambah Duka Laos
MakanBola
Timnas Indonesia

Indonesia memperoleh kemenangan pertama dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-20 selepas mengatasi cabaran Laos pada Khamis.

Kemenangan 3-0 dilakar Indonesia ke atas Laos cukup penting buat skuad kendalian Nova Arianto bagi membuka langkah ke pentas Piala Asia B-20 setelah sekadar terikat seri tanpa jaringan ketika bertemu Malaysia sebelum ini.

Sementara, di kem Laos pula dilihat tertekan apabila perlu memperoleh 3 mata selepas tewas 0-2 di tangan Australia pada perlawanan pertama lalu demi memastikan perjuangan pasukan tuan rumah itu tidak terhenti lebih awal.

Seawal minit ke-5 permainan, Indonesia berjaya membuka tirai jaringan menerusi Fabio Azka yang bijak menyudahkan peluang keemasan untuk meletakkan pasukan Garuda Muda di hadapan 1-0 pada awal perlawanan.

Zahaby Gholy menggandakan kelebihan buat Indonesia B-19 dengan gol kedua pada minit 40 setelah tenang menolak bola masuk ke gawang Laos hasil bola muntah daripada percubaan jarak jauh oleh Aleandro Maulana.

Tuan rumah terus tertekan setelah skuad muda Indonesia terus mencetak jaringan pada minit ke-62, sekali lagi menerusi penyudah Zahaby Gholy yang menyempurnakan sepakan percuma untuk menembusi gawang lawan.

Aksi tamat, Indonesia menewaskan Laos 3-0 dengan perlawanan terakhir bakal menyaksikan skuad Garuda Muda akan turun menentang Australia, manakala tuan rumah dijadualkan menghadapi Malaysia B-19 pada Ahad.