Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) meneruskan kempen kelayakan Piala Asia B-20 2027 dengan keputusan seri apabila mengikat Australia 2-2 di Vientiane, Laos.
Kedua-dua pasukan sedar mereka perlu memburu kemenangan dalam aksi ini. Ia kerana keputusan perlawanan hari ini bakal mempengaruhi kedudukan kedua-dua pasukan pada akhir kempen kelayakan.
Marcus Edward berada dalam kesebelasan utama Australia. Amar Imran Uzaini Ashadi memikul tugas sebagai kapten dan mengemudi benteng skuad muda negara.
Sebaik wisel perlawanan ditiup, Malaysia berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Izzuddin Afif Nazarudin dan Muhammad Adib.
Gandingan Izzuddin Afif dan Adib sering mencemaskan benteng Australia menerusi larian-larian ke arah kawasan kotak penalti pasukan itu.
Namun, Australia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Marcus Neill pada minit ke-4 aksi sekali gus mengusarkan kem pasukan Harimau Muda.
Selepas itu, perlawanan tampak seimbang selepas kedua-dua pasukan saling berbalas serangan menerusi ayam tambatan utama masing-masing.
Seterusnya, aksi terpaksa diberhentikan lebih daripada dua jam disebabkan cuaca buruk di venue perlawanan.
Selepas aksi bersambung, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fadhlul Hadi pada minit ke-50 sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan Malaysia.
Selepas itu, Izzuddin Afif berjaya menjarakkan defisit gol selepas melepaskan satu rembatan kencang pada minit ke-70 sehingga menerjah jaring Australia.
Namun begitu, Australia kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-80 menerusi Alaat Abdul-Rahman selepas beliau melepaskan satu ledakan cantik dalam kawasan kotak penalti Malaysia.
Jaringan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa kedua. Aksi berakhir dengan keputusan terikat 2-2 bagi kedua-dua pasukan.
Selepas ini, Malaysia akan berdepan ujian terakhir peringkat Kumpulan H dengan menentang tuan rumah, Laos pada 6 September ini. Australia pula akan bertemu Indonesia pada hari yang sama.