Kelibat seorang pemain misteri memakai jersi nombor 29 Penang FC semasa perlawanan persahabatan menentang Perak FC semalam mengundang tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Berdasarkan semakan komen yang dibuat penyokong Harimau Kumbang selepas perlawanan semalam, nama pemain tersebut ialah Luiz Fernando Welter dari Brazil.
Kemunculan Welter menimbulkan tanda tanya kerana setakat ini, Penang hanya mengumumkan tiga pemain import untuk musim 2024-2025.
Selain mengekalkan kapten dan bek tengah Rafael Vitor, pasukan yang dibimbing Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu turut membawa masuk Richmond Ankrah dan Rodrigo Dias.
Tidak mustahil pemain berusia 21 tahun itu merupakan pemain import terbaru Harimau Kumbang yang belum diperkenalkan secara rasmi.
Bagi seorang penyokong Harimau Kumbang bernama Dr Md Azree, Welter menunjukkan mutu permainan yang bagus dalam perlawanan semalam.
Pada masa sama, dia melihat bekas pemain Lusitania itu lebih menonjol sebagai jeneral tengah berbanding sebagai pemain sayap.
“Luiz Fernando Welter (jersi 29) ni bagus cuma tiada sokongan daripada pemain-pemain tempatan kita. Beliau sepatutnya bermain sebagai pemain tengah/tengah menyerang (dan) bukan pemain sayap,” katanya di ruang komen Facebook Penang FC.
Selain Welter, Akmal turut menurunkan dua pemain Korea Selatan yang tidak didedahkan identitinya dalam perlawanan semalam.
Ini sebahagian daripada usahanya mengenalpasti pemain import terbaru yang mampu memperkuatkan Harimau Kumbang.
Selain Lusitania, Welter pernah beraksi untuk skuad remaja Juventude, PRS FC, Kayserispor (Turki) dan Al-Rams (Emiriah Arab Bersatu (UAE)) mengikut data terbaru Transfermarkt.