Kemboja B-19 Ikat Australia, Vietnam ‘Pulang’ Awal
MakanBola
FFC

Kejayaan Kemboja mengikat Australia membuatkan Vietnam terpaksa akur tersingkir awal di Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 di Medan, Indonesia.

Aksi terakhir peringkat kumpulan Kejuaraan B-19 ASEAN menyaksikan pertemuan antara Kemboja dan Australia menjadi perlawanan yang amat dinanti-nantikan oleh para peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara ini.

Pertemuan tersebut menjadi penentu kepada juara kumpulan C dan status pasukan mana menjadi naib juara kumpulan terbaik dengan Vietnam dari kumpulan A turut mengintai slot untuk ke separuh akhir Kejuaraan B-19 ASEAN.

Vietnam B-19 yang menghuni kedudukan kedua kumpulan A berharap agar salah satu negara, sama ada Kemboja atau pun Australia akan tewas supaya mereka dapat layak ke separuh akhir selaku satu-satunya naib juara terbaik.

Walau bagaimanapun, harapan itu musnah selepas Kemboja bangkit untuk mengikat Australia 2-2 hasil dua jaringan oleh Sokea Sreng di minit ke-59 dan gol sendiri Marinucci ketika permainan berbaki 9 minit sebelum tamat.

Dua jaringan itu memusnahkan harapan Australia untuk mengutip 3 mata meskipun sempat mendahului selesa 2-0 di awal babak pertama hasil gol Edward Neil pada minit ke-2 dan Diogo Nunes selang 15 minit kemudian.

Keputusan seri itu membolehkan Kemboja B-19 mara ke separuh akhir buat pertama kali sebagai naib juara terbaik, mengiringi 3 lagi juara kumpulan iaitu Indonesia (kumpulan A), Thailand (kumpulan B) dan juga Australia (kumpulan C).

Vietnam dan Malaysia B-19 pula terpaksa menelan kepahitan menamatkan saingan kejuaraan edisi kali ini masing-masing di kedudukan kedua untuk kumpulan A serta B sekali gus menguburkan impian untuk mencuri tempat ke separuh akhir.

Di pusingan separuh akhir nanti, Thailand dijadualkan menentang Kemboja manakala Australia pula akan turun bertemu pasukan tuan rumah, Indonesia pada 11 Jun hadapan dengan hanya dua tiket menjadi buruan untuk ke final.