Kepulauan Solomon Hadapi Malaysia Dengan Hanya Seorang Pemain Profesional

Kepulauan Solomon Kepulauan Solomon Hadapi Malaysia Dengan Hanya Seorang Pemain Profesional
Solomon Islands National Team
Nabil Fahmi @nabilfamy
9:52am 14/06/2023

Menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Malaysia dan Kepulauan Solomon, pengendali Kepulauan Solomon, Felipe Vega Arango mengakui bukan satu tugas yang mudah walaupun ranking mereka lebih tinggi berbanding Malaysia.

Dalam masa yang sama, pengendali dari Sepanyol itu berkongsi mengenai status senarai pemain yang dibawa ke Malaysia. Mereka hadir ke Terengganu dengan hanya membawa seorang pemain bola sepak yang beraksi secara profesional.

Pemain yang dimaksudkan adalah Raphael Lea’i yang beraksi untuk Velez Mostar di Liga Bosnia. Pemain berusia 19 tahun itu dijangka akan menjadi sandaran utama Kepulauan Solomon bagi merobek gawang Harimau Malaya.

“Saya harap pemain kami (Kepulauan Solomon) dapat memberikan Malaysia satu cabaran yang baik. Ianya satu peluang yang baik untuk beraksi menentang sebuah pasukan profesional seperti yang kita tahu Malaysia merupakan pasukan yang dibarisi pemain profesional sepenuhnya sedangkan kami hanya mempunyai seorang sahaja pemain berstatus profesional.

“Seperti jurulatih-jurulatih lain di dunia ini, sudah tentu sebagai jurulatih saya mahukan kemenangan. Walaupun ianya hanya perlawanan persahabatan, saya mahu pemain saya memberikan cabaran yang terbaik buat Malaysia dan hidangkan perlawanan terbaik kepada penonton yang hadir,” jelas pengendali berusia 46 tahun itu kepada Harimau Malaya.

Untuk rekod, Kepulauan Solomon telah melalui dua perlawanan antarabangsa untuk tahun ini dengan mencatatkan rekod kemenangan seratus peratus. Perlawanan menentang Malaysia ini merupakan aksi antarabangsa ketiga mereka untuk tahun ini sebelum aksi keempat mereka berdepan Singapura pada 18 Jun ini.