Keputusan kontroversi pada minit akhir permainan membayangi aksi final AFCON 2025 antara Senegal dan tuan rumah, Maghribi.
beinSPORTS melaporkan kontroversi tercetus apabila VAR meminta pengadil, Jean-Jacques Ndala untuk melihat monitor berhubung insiden baju Brahim Diaz ditarik dalam kotak penalti.
Selepas melihat insiden itu di monitor, Ndala tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Maghribi. Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati kem Senegal.
Meskipun barisan pemain Singa Teranga cuba membantah keputusan itu, Ndala tetap mempertahankan keputusannya.
Situasi ini menyebabkan jurulatih Senegal, Pape Thiaw mengarahkan semua pemain masuk ke bilik persalinan sebagai tanda protes. Hanya bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane saja yang kekal di atas padang.
Situasi itu berlarutan selama 10 minit sebelum pemain Senegal kembali keluar atas usaha Mane. Diaz mengambil penalti tetapi penaltinya diselamatkan bekas penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.
Singa Teranga kemudiannya meraih gol kemenangan pada masa tambahan menerusi Pape Gueye.
Bagi kapten Senegal, Idrissa Gueye, beliau memanjatkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana keadilan memihak kepada pasukannya.
“Allah menganugerahkan kami kemenangan kerana Allah tidak tidur dan Allah melihat semuanya,” katanya seperti dilaporkan Football Tweet.
Ini kali kedua Senegal bergelar juara AFCON selepas melakukannya pada edisi 2021.