Kerajaan Gabon ‘Gantung’ Skuad Kebangsaan, Tapi Kenapa?
MakanBola
FEGAFOOT

Kerajaan Gabon mengambil langkah drastik dengan menggantung pasukan bola sepak negara itu.

Talksport melaporkan langkah tersebut dibuat pemangku Menteri Sukan Gabon, Simplice-Desire Mamboula pada 1 Januari lalu.

Mamboula memaklumkan langkah ini terpaksa diambil susulan kemerosotan kualiti dan prestasi Gabon di peringkat antarabangsa.

Selain menggantung pasukan bola sepak Gabon, kerajaan negara itu turut mengambil keputusan tidak lagi memanggil Bruno Ecuele Manga dan bekas penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang.

Prestasi Gabon dalam Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pihak termasuk Presiden, Brice Clotaire Oligui Nguema.

Ini kerana pasukan itu tewas dalam semua tiga perlawanan Kumpulan F. Ini termasuk kekalahan 3-2 di tangan Mozambique pada 28 Disember lalu.

Penggantungan ini merupakan satu campur tangan kerajaan kepada urusan Persekutuan Bola Sepak Gabon (FEGAFOOT). Sekiranya keadaan ini berlanjutan, FEGAFOOT berpotensi berdepan penggantungan FIFA.

Yang pasti, penggantungan ini turut menandakan berakhirnya penglibatan Aubameyang dan Ecuele bersama Gabon.

Kedua-duanya masing-masing merekodkan 83 dan 105 penampilan di peringkat antarabangsa. Aubameyang turut meledakkan 40 gol bersama Gabon.

Claim Money Packet TnG