Bukan sekali penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) FC menyalakan suar bagi meraikan kejayaan pasukan mereka. Tetapi disebabkan perkara ini juga, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mendenda JDT FC sebanyak RM120,000.
Denda tersebut dikenakan selepas penyokong Harimau Selatan menyalakan suar dalam dua perlawanan Liga Super membabitkan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC.
Sementara satu lagi perlawanan ialah perlawanan Piala FA membabitkan PDRM FC. Bagi setiap kesalahan, JDT FC dikenakan denda sebanyak RM30,000.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, keputusan hukuman telah diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu pada 30 Mei 2023. Surat pemakluman kemudiannya dihantar kepada pengurusan JDT FC sehari selepas itu.
“Bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lwn Sabah FC pada 31 Mac 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.
“Seterusnya, bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lwn Kedah Darul Aman FC pada 9 April 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.
“Sementara bagi perlawanan Piala FA 2023, JDT lwn PDRM FC pada 14 April 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menjelaskan menjadi amalan Jawatankuasa Tatatertib FAM tidak membuat sebarang kenyataan media selepas semua bentuk hukuman telah diputuskan.
“Dengan pemakluman ini, diharap ia dapat memberi penjelasan kepada umum bahawa tindakan dan hukuman telah pun diambil oleh FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM.
“Adalah sekarang menjadi amalan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat,” tambahnya.