Beberapa minggu lepas, perlawanan KL City-PDRM menarik perhatian penyokong disebabkan insiden tarik rambut membabitkan dua pemain import kedua-dua pasukan, Giancarlo Gallifuoco dan James Okwuosa. Dan semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menentukan tindakan disiplin ke atas dua pemain tersebut.
Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Gallifuoco dan Okwuosa difahamkan telah dikenakan penggantungan satu perlawanan. Hukuman dijangka berkuatkuasa dalam aksi ke-11 Liga Super.
Disebabkan insiden tersebut, kedua-dua pemain dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit akhir perlawanan. Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 3-0 City Boys ke atas Sang Saka Biru.
Ini sudah pasti memeningkan kepala jurulatih The Cops, Azzmi Aziz. Dengan keupayaannya mengendali barisan pertahanan, Okwuosa tidak akan dapat diturunkan untuk perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 18 Mei.
Sementara jurulatih KL City, Bojan Hodak pula terpaksa merombak barisan pertahanan bagi perlawanan menentang Kelantan United pada 20 Mei ini. Dengan City Boys baru-baru ini tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan, sudah pastinya beliau mahu anak-anak buahnya kembali bangkit.