“Kes FIFA Isu Pemalsuan, Tapi Siapa Hantar Dokumen?” – Tunku Ismail
MakanBola
Malaysia NT

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, tampil memberikan penjelasan lanjut berhubung isu melibatkan kes pemain kebangsaan Malaysia yang sebelum ini dibawa ke FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurut beliau, terdapat segelintir individu dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sejak dahulu tidak berpuas hati terhadapnya, termasuk dakwaan bahawa terdapat pihak yang cuba memanfaatkan kedudukan dalam badan bola sepak tersebut untuk kepentingan tertentu.

“Beberapa orang dalam FAM memang tidak puas hati dengan saya sejak dahulu kerana tidak boleh buat duit. Ada yang datang minta saya tolong dapatkan projek, ada juga yang datang minta bantuan supaya tidak disiasat oleh SPRM dan macam-macam lagi,” tulis Baginda di laman X.

Tambahnya, situasi menjadi lebih tegang apabila kerajaan menyalurkan dana bagi membantu pasukan kebangsaan Harimau Malaya, yang menurutnya menyebabkan ada pihak berasa tidak berpuas hati kerana tidak terlibat.

“Ramai yang kecewa apabila kerajaan membantu memberi dana kepada pasukan kebangsaan. Ada yang tidak puas hati kerana tidak terlibat, lalu secara senyap berjumpa Ultras Malaya, beberapa orang media dan juga individu dalam media sosial untuk memulakan kempen sabotaj menggunakan pelbagai naratif,” jelas Tunku Ismail.

Mengulas mengenai kes yang dibawa oleh FIFA, Tunku Ismail menegaskan bahawa isu sebenar berkait dengan pemalsuan dokumen dan bukannya berkaitan kelayakan kerakyatan pemain.

“Kes FIFA adalah kes pemalsuan dokumen (forgery), bukan isu kelayakan kerakyatan. Tetapi siapa yang membuat penghantaran dokumen yang salah? Ejen dan siapa dalam FAM? Kenapa tidak menghantar dokumen yang sah daripada JPN?” soal Baginda.

Menurut Baginda lagi, pemain akhirnya menjadi pihak yang dipersalahkan walaupun terdapat persoalan mengenai pihak sebenar yang bertanggungjawab dalam proses pentadbiran dokumen tersebut.

“Untuk menyelamatkan orang dalam, pemain dipersalahkan. Semasa hujah dalam pendengaran di CAS, pihak FIFA juga tidak dapat menjawab apabila ditanya di mana bukti pemain terlibat atau bersubahat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kes tersebut dilihat berbeza berbanding beberapa kes lain yang pernah diputuskan oleh CAS sebelum ini.

“Kenapa kes ini dilayan berbeza daripada kes CAS terdahulu apabila pemain wanita yang mengaku melakukan pemalsuan hanya dihukum 10 perlawanan bersama pasukan kebangsaan tetapi masih boleh bermain bersama kelab?” ulas Baginda.

Sehubungan itu, Tunku Ismail berpendapat pihak-pihak yang terbabit dalam urusan pentadbiran perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan bukannya meletakkan semua kesalahan sepenuhnya kepada pemain.

“Orang dalam patut bertanggungjawab, bukan lepas tangan dan menggunakan penyokong serta media untuk menjadikan saya kambing hitam,” katanya.