DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mendedahkan beberapa figura dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berpuas hati dengan baginda.
Rasa tidak puas hati itu timbul kerana mereka dikatakan tidak dapat membuat duit atau menerima sebarang projek.
Perkara ini dikongsikan baginda menerusi ciapan panjang di platform X pada Selasa. Tunku Ismail percaya disebabkan hal tersebut, mereka melancarkan kempen sabotaj terhadap baginda dan skuad kebangsaan.
“Beberapa orang dalam FAM memang tak puas hati dengan saya dari dahulu kerana tak boleh buat duit,” katanya.
“Ada beberapa yang datang minta saya tolong nak dapatkan projek, ada juga yang datang minta tolong tak disiasat SPRM dan macam-macam. Tetapi ramai yang kecewa apabila kerajaan membantu beri dana kepada skuad kebangsaan.
“Ramai tak puas hati kerana ada yang tak terlibat. Jadi secara senyap berjumpa Ultras Malaya, beberapa orang media, dan beberapa orang dalam media sosial. Untuk mula kempen sabotaj dan menggunakan pelbagai naratif.”
Tunku Ismail juga percaya individu yang sepatutnya bertanggungjawab atas isu membabitkan tujuh pemain negara ialah figura-figura ini.
Baginda turut melihat tindakan mereka yang bersikap lepas tangan berhubung isu tersebut dan menjadikan dirinya kambing hitam sebagai tidak bertanggungjawab.