Ini perbezaan ketara antara kes pemain tidak sah melibatkan skuad Timor Leste dan Malaysia menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, Datuk Seri Windsor John Paul
Datuk Seri Windsor menerangkan bahawa dalam kes Timor Leste, kesalahan melibatkan penggunaan 12 pemain yang tidak sah hanya dikesan selepas kejohanan tersebut telah pun berakhir sepenuhnya.
“Dalam kes Timor Leste, kesalahan itu ditemui selepas pertandingan sudah tamat. Apabila pertandingan sudah berakhir dan barulah kesalahan ditemui, hukuman tidak boleh dikenakan secara retroaktif. Hukuman perlu dilaksanakan untuk masa hadapan. Itu logiknya.
“Pertandingan sudah selesai sebelum didapati dokumen-dokumen yang digunakan adalah palsu. Jadi apabila Jawatankuasa Disiplin membuat keputusan, mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman ke belakang, sebaliknya hukuman perlu dikenakan ke hadapan. Sebab itulah Timor Leste dilarang beraksi dalam edisi pertandingan yang seterusnya,” terang Windsor Paul.
Manakala bagi kes Malaysia, kesalahan tersebut ditemui semasa kempen Kelayakan Piala Asia ini masih berjalan, sekali gus memberi bayangan jika hukuman boleh dikenakan pada masa ini.
“Situasi Harimau Malaya pula berbeza kerana perkara ini ditemui ketika pertandingan masih sedang berlangsung. Keadaannya tidak sama. Oleh itu, hukuman boleh dilaksanakan pada masa ini.
“Itulah perbezaan antara kes Timor Leste dengan Malaysia atau mana-mana pasukan lain. Kita perlu melihat konteks bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat,” katanya semasa ditemui di sidang media pada Isnin.
Tambah beliau, pihak Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC sudah pun memulakan proses penelitian kes bersama FAM dan sebarang keputusan tidak boleh dibuat terburu-buru kerana boleh dicabar di peringkat lain.
“Jawatankuasa Disiplin sedang meneliti fakta dan jawapan daripada FAM. Kita kena tunggu proses perundangan ini selesai. Ia tidak boleh dibuat terburu-buru kerana keputusan ini boleh dicabar di peringkat rayuan atau ke CAS (Court of Arbitration for Sport).”