Kesediaan Jurgen Klopp Realisasikan Impian Sven-Goran Eriksson Menyentuh Hati
Inspirasi
Liverpool FC/Manchester City
Advertisements

Susulan pendedahan bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson memiliki baki hayat selama setahun kerana menghidap kanser, Jurgen Klopp tampil untuk merealisasikan impiannya.

Bekas jurulatih Sweden yang berusia 75 tahun itu sebelum ini mendedahkan beliau sebenarnya menyokong Liverpool dan memiliki keinginan menjadi pengurus pasukan itu di Anfield.

Ini disebabkan minat yang diturunkan oleh bapanya, Sven yang juga penyokong tegar The Reds.

Advertisements

“Bapa saya masih hidup dan masih seorang penyokong Liverpool dan saya juga menyokong Liverpool sejak dari dulu lagi.

“Jadi, saya selalu teringin menjadi pengurus Liverpool dan itu tidak akan berlaku sudah pasti tapi saya masih lagi seorang penyokong Liverpool,” katanya bila dihubungi Sky News.

Lantaran itu, ramai penyokong The Reds berharap pengurusan kelab dapat merealisasikan impian Eriksson termasuk menawarkan beliau peluang melatih pasukan Liverpool FC Legends.

Advertisements

Dan semalam, Klopp bersedia merealisasikan impian bekas jurulatih Manchester City itu bergelar pengurus Liverpool dengan merasai pengalaman sebagai pengurus selama sehari di kelab berkenaan.

“Sudah pasti berita tersebut (keadaan kesihatan Eriksson) menyentuh hati apabila anda mendengarnya. Saya dengar buat kali pertama tentang minat atau kecintaan beliau terhadap Liverpool dan beliau merupakan penyokong seumur hidup.

“Saya dengar juga tentang perlawanan (Liverpool FC) Legends dan benda yang berkaitan dengannya. Saya tidak bertanggungjawab untuk hal itu.

Advertisements

“Satu-satunya perkara yang saya boleh katakan ialah beliau dialu-alukan untuk datang ke sini dan beliau boleh duduk di kerusi saya dalam pejabat saya dan lakukan tugas saya untuk sehari jika beliau mahukannya. Tiada masalah.

“Berada di tepi padang mungkin sedikit sukar. (Tetapi) untuk menerima kehadiran beliau dan menunjukkan semua perkara dan kemajuan kelab selama bertahun-tahun, saya fikir itu sesuatu yang kita mahu beritahu kepada beliau.

“Beliau boleh datang dan menikmati beberapa jam yang mengagumkan, saya pasti,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan seperti yang dilaporkan BBC Sport.

Advertisements

Ramai penyokong Liverpool kagum dengan tindakan jurulatih Jerman tersebut yang disifatkan mulia dan ada kelas.

Eriksson merupakan pengurus asing pertama yang melatih England dari 2001 hingga 2006. Selain England, beliau pernah melatih Manchester City, Leicester City, Mexico dan terakhir, skuad kebangsaan Filipina.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram