Ketegasan Pengadil Dapat Pujian MFL

Ketegasan pengadil MFL Ketegasan Pengadil Dapat Pujian MFL
Penang Football Club
Muhammad Aiman @aiman2309
1:01pm 25/03/2023

Ketegasan ditunjukkan pengadil sejak bermulanya saingan Liga Malaysia musim baru, sehingga menyaksikan sebanyak 12 kad merah telah dilayangkan (termasuk kepada dua jurulatih), mendapat pujian Malaysian Football League (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam laporan disiarkan Sukan Sinar berkata ia membuktikan kewibawaan seseorang pengadil itu di dalam mengawal suasana tegang, selain dapat memastikan setiap pemain dan jurulatih lebih berdisiplin dan mengawal tindakan masing-masing di atas padang.

“Kalau kita ambil pendekatan sebab apa kad merah itu dilayangkan, kita tidak boleh salahkan pengadil kerana pengadil adalah juri di atas padang untuk memastikan apa-apa tindakan yang perlu diambil.

“Jika ada pemain atau jurulatih menjangkakan pengadil tidak akan mengambil tindakan jika mereka menggunakan perkataan kesat atau kritikan yang keterlaluan, mereka silap kerana pengadil boleh ambil tindakan,” kata Stuart.

Antara pemain yang menerima layangan kad merah adalah empat pemain Perak iaitu Ahmad Haziq Puad, Sunday Afolabi, Fadhil Idris dan Nasrol Amri Kamarul Azhar; dua pemain Penang iaitu A.Namathevan dan Soony Saad; Christian Rontini (Kelantan) dan Manuel Ott (Kedah).

Manakala jurulatih yang menerima layangan kad merah pula adalah Nafuzi Zain ketika Kedah menentang PDRM dan Ong Kim Swee ketika Sabah menentang Sri Pahang.

Bagi Stuart, MFL telah meneliti setiap insiden dan mendapati tidak ada keputusan silap oleh pengadil dalam setiap kad merah yang dilayangkan maka ia tidak perlu menjadi satu isu atau topik perdebatan.