Penyerang berbisa Mumbai City FC, Jorge Pereyra Diaz tidak dapat mempamerkan aksi sebenar ketika pasukannya menghadapi kekalahan besar 6-0 berdepan jaguh Arab Saudi, Al-Hilal.
Pemain berusia 32 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan selaku penyerang tengah dan bergandingan bersama Vikram Pratap Lallianzuala Chhangte.
Beliau bagaimanapun dikunci rapat oleh barisan pertahanan Al-Hilal yang dikemudi oleh bekas pemain Chelsea FC, Kalidou Koulibaly.
Menerusi catatan yang dilampirkan oleh laman Sofascore, bekas pemain JDT ini dinilai antara pemain paling kurang menyerlah selepas hanya memperoleh penilaian 6.4 sepanjang 80 minit beraksi.
Beliau gagal mencatatkan sebarang percubaan sepanjang beraksi di atas padang selain hanya mampu melakukan satu gelecekan.
Diaz hanya melakukan 20 sentuhan dengan kalah 3 pertarungan bola sementara turut merekodkan 7 kali kehilangan posisi.
Beliau sebelum ini pernah menyatakan keterujaan untuk berdepan kelab yang diwakili bintang dunia, Neymar Jr namun bertukar tragedi selepas tewas besar.
“Sangat gembira untuk beraksi menentang Neymar. Pasukannya (Al-Hilal) memiliki beberapa pemain terbaik dunia.”
Prestasi hambar pemain ini jelas memberi tamparan hebat kepada Mumbai City tatkala beliau merupakan mesin gol utama pasukan.
Barisan pertahanan Mumbai City kekal sebagai pemain paling buruk dengan kapten pasukan, Rostyn Griffiths dan Mehtab Singh menjadi pemain dengan penilaian paling rendah iaitu 5.6 dan 5.9 bagi aksi tersebut.
Kekalahan 6-0 ini menyaksikan Mumbai City tidak mencatatkan sebarang kemenangan dalam 3 aksi kumpulan setakat ini dan terpelosok di tangga tercorot.