Menjelang aksi final Sukan SEA 2023 membabitkan Indonesia dan Thailand, anak-anak buah Indra Sjafri pasti membayangkan insentif yang menanti mereka jika meraih pingat emas pada hari ini. Tetapi bagi Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, hal itu perlu ditolak ke tepi terlebih dahulu.
Bagi bekas pemilik Inter Milan itu, beliau mahu para pemain ingat tentang kepentingan final hari ini. Sekiranya mereka berjaya menewaskan Thailand, mereka mengakhiri penantian 32 tahun Indonesia untuk meraih pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.
Erick turut menegaskan walaupun ada ganjaran bonus menanti anak-anak buah Indra, kepentingan negara perlu diutamakan terlebih dahulu. Inilah peluang bagi skuad Garuda Muda melakar nama mereka dalam sejarah sekiranya menang aksi final hari ini.
“Jangan tanya bonus dulu. Juara dulu baru bicara bonus. Pasti ada, tapi fokus dulu. Jangan bonus-bonus dulu, nanti malah tidak fokus. Saya berharap pemain fokus untuk pertandingan besok (hari ini). Semoga besok (hari ini) meraih hasil maksimum,” katanya kepada CNN Indonesia.
Perlawanan final Indonesia-Thailand diadakan di Stadium Olympic, Phnom Penh. Selain itu, aksi penentuan tempat ketiga membabitkan Vietnam dan Myanmar turut diadakan hari ini di stadium sama.