Khairul Fahmi Bakal Kembali Ke Kelantan?
MakanBola
Sabah FC

Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dilaporkan akan kembali ke negeri Kelantan.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan penjaga gol berusia 37 tahun itu akan menabur bakti bersama sebuah pasukan negeri kelahirannya itu.

Meskipun begitu, identiti pasukan Kelantan yang menjadi pilihan Khairul Fahmi untuk kempen musim hadapan tidak didedahkan.

“Legenda sudah kembali, kembali menabur bakti sebelum bersara. Khairul Fahmi Che Mat,” katanya di X.

Sebelum ini, Khairul Fahmi yang mesra disapa Apek memaklumkan salah satu sebab beliau meninggalkan Sabah FC ialah faktor keluarga.

“Saya pernah beritahu sebelum ini, saya agak lama berada di Sabah. Keluarga saya tak ikut saya ke Sabah.

“Jadi, sudah sampai waktu untuk saya berkorban demi keluarga pula. Sebelum ini mereka berkorban, jadi sampai waktu saya bersama isteri dan anak-anak,” katanya.

Khairul Fahmi meninggalkan Sabah selepas merekodkan 70 penampilan dan 18 perlawanan tanpa bolos. Aksi menentang Terengganu FC baru-baru ini merupakan aksi terakhir beliau bersama Sang Badak.