Terengganu FC menutup kempen Liga Super dengan kemenangan apabila menewaskan Sabah FC di Stadium Likas.
Selepas tewas 3-1 kepada Imigresen FC sebelumnya, anak buah Tengku Hazman Raja Hassan perlu menang di Kota Kinabalu dalam aksi terakhir liga. Ini kerana hanya kemenangan yang dapat menjamin kedudukan Terengganu dalam kelompok lima pasukan terbaik liga.
Selain itu, ini juga peluang Peteh membalas dendam terhadap Sang Badak. Ini kerana Sabah berjaya menewaskan Terengganu 3-1 di Gong Badak pada 23 Disember 2025.
Khairul Fahmi Che Mat membuat penampilan terakhir sebagai penjaga gol Sabah. Gervane Kastaneer kembali cergas dan dipilih sebagai kapten Terengganu.
Penyerang Curacao itu hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat. Malangnya, percubaan bekas penyerang Persib Bandung itu berjaya dinafikan Khairul Fahmi.
11 minit kemudian, giliran Miguel Cifuentes pula menguji penjaga gol Peteh, Rahadiazli Rahalim. Bekas penjaga gol Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) bertindak cemerlang menafikan bekas pemain Malaga itu.
Sabah hampir meraih gol pembukaan menerusi Fergus Tierney pada minit ke-38. Bekas penyerang Nakhon Pathom United itu hampa apabila percubaannya terkena tiang.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pembukaan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Terengganu terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Sabah.
Yann Mabella menjadi pemain terbaru menguji kecekapan Khairul Fahmi. Bekas penjaga gol kebangsaan itu dua kali menafikan Mabella sebelum bola dikeluarkan pertahanan Sabah.
Kedua-dua pasukan kemudiannya membuat pertukaran pemain untuk memburu gol. Sabah memasukkan Kervons Belfort dan Chris Marlon Ondong-Mba sebagai pemain gantian.
Tengku Hazman pula memasukkan Shervoni Mabatshoev sebagai pengganti Kastaneer. Pemain Tajikistan itu mencipta impak segera dengan menyumbat gol pada minit ke-81.
Sabah berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini memastikan Terengganu mencapai sasaran berada dalam kelompok lima pasukan terbaik liga.