Khairul Fahmi Mulakan Karier Sebagai Penyerang
MakanBola
Sabah FC

Siapa sangka sebelum dikenali sebagai penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sebenarnya memulakan karier bola sepaknya sebagai penyerang.

Anekdot pelik tapi benar ini dikongsikan sendiri oleh beliau semasa menjadi tetamu program Astro Arena, Bola Dulu Baru Kamu! baru-baru ini.

Khairul Fahmi yang mesra disapa Apek memaklumkan beliau pada awalnya bermula menjadi penyerang semasa berusia 11 tahun.

Walau bagaimanapun, selepas menyedari beliau tidak memiliki potensi sebagai penyerang, guru sekolah Khairul Fahmi meletakkannya di posisi penjaga gol.

“Dekat sekolah masa saya Darjah 5, saya main jadi penyerang. Tapi sebab saya tiada potensi jadi penyerang, cikgu cakap dekat saya, ‘Kau pergi sana (jadi penjaga gol), kau jaga bola.’

“Dari situ sampai sekaranglah (saya jadi penjaga gol),” katanya kepada hos program, Safee Sali, Nizaruddin Yusof dan Zaquan Adha Abdul Radzak.

Khairul Fahmi turut mendedahkan disebabkan pilihan tersebut, beliau dilihat tidak canggung beraksi di posisi berkenaan. Malah, semasa di bangku sekolah, beliau juga turut diminta beraksi sebagai penjaga gol untuk sukan seperti bola baling dan hoki.

“Jadi, mungkin pada zaman saya itu, nampak (jadi penjaga gol). Jadi masa Darjah 5 itu, cikgu cakap, ‘Kau tak boleh main penyerang, kau kena jadi penjaga gol.

“Jadi penjaga gol itu sampai ke peringkat MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia). Maknanya, kita sudah biasa beraksi di situ.

“Aku dari sekolah rendah itu hoki main penjaga gol, bola baling pun main penjaga gol. Macam sukan yang melibatkan penjaga gol itu, aku main,” ujarnya.

Khairul Fahmi kini menjadi sandaran utama Datuk Ong Kim Swee sebagai penjaga gawang Sabah FC. Selain Sabah, beliau juga pernah beraksi untuk Kelantan FC dan Melaka United FC.

Khairul Fahmi turut merekodkan 61 penampilan antarabangsa sebagai penjaga gol Harimau Malaya.