Bekas pemain beregu negara, Koo Kien Keat percaya Lee Zii Jia lebih tahu apa yang terbaik buatnya menjelang kempen musim 2025.
Tahun 2025 bakal menyaksikan jaguh perseorangan lelaki Malaysia itu bakal dilatih Yeoh Kay Bin. Kay Bin dipilih sebagai pengganti jurulatih sebelumnya, Wong Tat Meng.
Tat Meng tidak lagi melatih juara Australian Open 2024 itu selepas kontraknya tamat pada penghujung Disember ini.
Ini menjadikan saingan BWF World Tour Finals 2024 sebagai kejohanan terakhirnya sebagai jurulatih Zii Jia.
Kien Kiat tidak melihat perubahan jurulatih yang dilalui pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu sebagai satu isu. Ini kerana Zii Jia lebih mengetahui apa yang diperlukannya.
“Cuma bagi saya lain sedikit sebab saya rasa Zii Jia sebagai pemain profesional, dia tak perlukan pengurusan untuk putuskan. Dia sendiri yang buat keputusan,” katanya kepada Astro Arena.
“Apa yang bagus untuk dia, dia sendiri yang tahulah. Dia pun sudah tukar jurulatih banyak (kali) juga.”
Kien Kiat percaya apa yang penting ialah jurulatih yang dipilih Zii Jia mampu membantu meningkatkan keyakinan dan prestasinya di atas gelanggang.
“Apa yang paling penting ialah harapnya yang terbaik untuk dia cari jurulatih yang beri dia keyakinan dan meningkatkan prestasinya,” tambahnya.
Kay Bin hadir dengan pengalaman luas dalam dunia kejurulatihan badminton. Ini kerana beliau pernah menjadi penolong jurulatih kepada jurulatih China, Li Mao selama tujuh tahun.
Semasa aktif sebagai pemain, Kay Bin bukan saja pernah meraih pingat gangsa Badminton Asia Championship (BAC) 2007. Beliau juga pernah bergelar pemain perseorangan lelaki ke-12 dunia.