Kim Pan-gon Ada Cara Sendiri Ubah Gaya Permainan Lama Malaysia
MakanBola
Azri H. / MakanBola

Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon memiliki ramuan tersendiri untuk menerapkan corak permainan lebih segar kepada skuad negara menjelang cabaran Piala Asia tahun hadapan.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu sedang menerapkan elemen penting dalam skuad kebangsaan sejak mula mengambil alih pasukan dan menekankan ‘DNA Malaysia’ dalam setiap perlawanan.

Kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon bagaimanapun menyaksikan deretan peluang terhidang disia-siakan sekaligus meraih perhatian beliau.

Ini juga menjadi elemen yang mahu ditambah baik sebelum berdepan Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa kedua Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Selasa ini.

“Selepas beraksi menentang Kepulauan Solomon Rabu lalu, kami melihat semula permainan untuk menilai keseluruhan persembahan pemain pada aksi persahabatan antarabangsa ketiga musim ini yang berakhir dengan kemenangan 4-1.”

“Hasil analisis, kami mengesan kesilapan kecil iaitu kesalahan teknikal individu, jadi kami perlu perbaiki dan mengurangkan kesilapan itu, saya yakin jika kita mahu bermain dengan aksi yang berkualiti tinggi, kita perlu memperbaikinya, begitu juga dengan masalah membuat keputusan kerana kita perlu mengawal permainan.”

Pan-gon juga berazam untuk terus memastikan corak penguasaan bola Malaysia akan terus ditambah baik dari setiap perlawanan.

“Jadi inilah yang kami mahukan, kami mahu ubah corak permainan bola sepak Malaysia dengan lebih banyak menguasai bola berbanding corak permainan lama.”

“Keterampilan dan karakter mereka juga perlu diubah dengan memperagakan aksi yang berkualiti dan menakjubkan,” kata Pan-gon ketika ditemui sebelum sesi latihan petang semalam.

Harimau Malaya akan berdepan negara ke-159 dunia itu sebagai persiapan terkahir bagi aksi kalendar FIFA bulan Jun sebelum bertemu semula pada September nanti.