Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon tidak memandang rendah cabaran Kuching City FC menjelang aksi Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu pada 22 Februari.
Bekas jurulatih Harimau Malaya itu berpandangan sedemikian bukan saja dengan mengambil kira prestasi The Cats musim ini.
Malah, Pan-gon juga sedar anak buah Aidil Sharin Sahak pernah menewaskan Merah Kuning 1-0 di Kuching pada September 2025.
Atas sebab itu, beliau mahu anak buahnya menampilkan prestasi terbaik jika ingin meraih tiga mata penuh di Stadium MBPJ.
“Ya, ia akan menjadi perlawanan yang menarik sebab nanti kita akan jumpa lawan sama di separuh akhir.
“Tapi untuk aksi liga, saya sedar Kuching City memang antara pasukan terkuat sekarang dalam Liga Super.
“Saya dengan rendah diri turut menanti untuk perlawanan menentang mereka Ahad ini dan apa pun, saya sentiasa menghormati Kuching City dan kita akan cuba yang terbaik nanti,” katanya.
Pertembungan ini cukup signifikan kerana kedua-dua pasukan memburu slot tempat kedua Liga Super. Selangor ketika ini menghuni posisi itu dengan 32 mata, satu mata di hadapan Kuching City.
Selain itu, ini juga persiapan buat kedua-dua pasukan sebelum kembali bertemu di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.