Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon mengakui teruja kerana dapat membawa skuad negara ke saingan Piala Asia 2023.
Malaysia berjaya layak ke Piala Asia 2023 selepas muncul naib juara Kumpulan E dan mengiringi Bahrain ke pusingan akhir kejohanan itu.
Ini sekaligus mengakhiri penantian negara untuk layak secara merit sejak 1980. Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia ialah pada 2007 sebagai tuan rumah bersama Vietnam, Thailand dan Indonesia.
Kini, dengan kejohanan bakal membuka tirainya pada 12 Januari ini, Pan-gon mahu para pemain Harimau Malaya memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya.
“Saya fikir kita semua amat teruja, kita menunggu kejohanan ini (Piala Asia 2023) untuk tempoh yang lama. Sebenarnya sebagai jurulatih, saya juga mempunyai impian untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia.
“Saya amat teruja (dan) para pemain juga teruja. Jadi, saya fikir keterujaan ini patut diteruskan sehingga perlawanan pertama (Kumpulan F). Kejohanan ini amat penting tetapi peringkat ini juga yang paling sukar.
“Kita menentang pasukan-pasukan yang hebat, yang menduduki ranking teratas (Asia). Kita memiliki impian dan kita perlu berjuang untuk mendapatkannya. Kita beri yang terbaik, fokus, dedikasi dan keazaman.
“Itu yang kita boleh lakukan dan di sini saya ingin menyatakan penghargaan kepada FAM kerana menghantar kita lebih awal ke Doha. Kita mempunyai masa mencukupi untuk beradaptasi di sana dan kita menjangkakan satu persekitaran yang baik.
“Kita menghargai persekitaran yang diwujudkan untuk kita. Harapnya kita dapat gunakan peluang ini sebagai kelebihan bila menghadapi kejohanan ini,” katanya dalam sidang media selepas latihan pasukan hari ini.
Apabila tiba di Doha, Qatar, skuad negara bakal mengadakan aksi persahabatan dengan Syria pada 8 Januari 2024.
Pertemuan ini disifatkan perlawanan ulangan membabitkan kedua-dua pasukan di China pada September lalu. Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia dan Syria terikat 2-2.
Helang Qasioun dijangka menurunkan barisan terkuat termasuk pemain-pemain berstatus pemain warisan. Antara nama yang bakal menjadi tumpuan ialah pemain import terbaru Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jalil Elias.
Meskipun begitu, kem Syria sedikit panas gara-gara tindakan jurulatih mereka, Hector Cuper menggugurkan kapten dan penyerang berbisa, Omar Al Somah baru-baru ini.
Selain Helang Qasioun, Harimau Malaya juga dilaporkan sedang mencari satu lagi pasukan setaraf dengan Arab Saudi untuk satu lagi aksi pemanas badan.
Ini selepas The Green Falcons membatalkan rancangan aksi persahabatan dengan skuad negara atas permintaan pengurus mereka dari Itali, Roberto Mancini.
Malaysia memulakan kempen Piala Asia 2023 dalam Kumpulan E dengan menentang Jordan pada 15 Januari 2024.