Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon melabel penyerang Singapura, Ikhsan Fandi sebagai ancaman utama pasukan itu menjelang aksi Shopee Cup menentang BG Pathum United.
Ini kerana pada hemat Pan-gon, Ikhsan terus menunjukkan bisanya sebagai peledak selepas kembali dari pinjaman bersama satu lagi kelab Thailand, Ratchaburi.
Sejak kembali menyarung jersi The Rabbits pada Januari lalu, bekas penyerang Raufoss itu sudah menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan.
Ini termasuk gol ketika menentang Dynamic Herb Cebu (DH Cebu) pada 28 Januari lalu. Selain Ikhsan, Pan-gon turut menyebut seorang pemain Jepun dipercayai merujuk kepada Tomoyuki Doi.
“Ikhsan (Fandi), pemain Singapura dan seorang lagi ialah pemain Jepun. Mereka memiliki bakat yang bagus.
“Ikhsan seorang penyerang yang dinamik dan memiliki kemahiran penting untuk menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Ikhsan dan Doi bukan satu-satunya pemain yang boleh menggugat Selangor. Ini kerana terdapat ramai pemain berkualiti yang menjadi sandaran jurulatih Jepun, Masatada Ishii.
Antaranya Kritsada Kaman, Chanathip Songkrasin, Sarach Yooyen, Elias Dolah, Patrik Gustavsson dan Riku Matsuda.
Selangor dan BG Pathum akan berentap di Stadium MBPJ pada 4 Februari ini. Selangor berharap kemenangan dapat melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir Shopee Cup.