Kim Pan-gon: Perjalanan Ulsan HD Di Asia Berakhir
MakanBola
Ulsan HD

Jurulatih Ulsan HD, Kim Pan-gon mengakui perjalanan pasukan itu dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) sudah berakhir.

Hasrat Ulsan untuk menghidupkan peluang layak ke pusingan 16 terbaik ACLE tertutup. Ini selepas The Tigers tewas 2-1 kepada Buriram United.

Guilherme Bissoli meletakkan tuan rumah di hadapan. Ulsan kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Jang Si-young.

Tatkala aksi Buriram dan Ulsan seakan berakhir dengan keputusan seri, Suphanat Mueanta muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Ulsan berada di tangga ke-11 Liga Timur ACLE dengan tiga mata. Ini sekaligus meranapkan impian juara K-League 1 musim 2024 itu.

Meskipun perjuangan The Tigers sudah berakhir, Pan-gon percaya pasukan itu akan bangkit semula dalam saingan ACLE yang seterusnya.

“Perjalanan kita dalam ACLE sudah berakhir. Ramai yang kecewa sebab kita gagal layak ke pusingan seterusnya,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.

“Tetapi kita masih layak ke ACLE yang berikutnya. Jadi, kita akan bangkit dan tampil menjadi antara pasukan terkuat di Asia semula.

“Jadi, saya harap kita tidak terlalu kecewa. Harapnya, semua orang dapat berfikiran positif dan memandang ke hadapan.”

Ulsan kini mengalihkan fokus untuk aksi pertama K-League 1 menentang FC Anyang pada 16 Februari ini.