Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon optimis untuk memastikan pemain memberikan yang terbaik menjelang pertemuan dengan Oman Selasa ini.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu membantu kempen Kelayakan Piala Dunia yang amat cemerlang apabila merekodkan dua kemenangan awal menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.
Hasrat untuk meneruskan rentak itu bagaimanapun terhalang apabila Harimau Malaya tewas dengan keputusan 0-2 di tangan pasukan ke-80 dunia, Oman.
Kekalahan itu bagaimanapun dipandang positif oleh Pan-gon sambil melaungkan keyakinan bahawa anak buahnya sedia memberikan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri.
“Kami fokus untuk membuat pemulihan fizikal dan betulkan kesalahan daripada perlawanan lalu. Semua tahu perlawanan esok sangat penting dan mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri. Kami mahu berjuang untuk memberikan persembahan dan keputusan terbaik.”
“Sekiranya kita berjaya mencuri satu mata amat bagus menentang pasukan ke-80 dunia, tiga mata pastinya amat baik. Akan tetapi, kita mahu mendapatkan mata menentang Oman.”
Beliau turut menyatakan bahawa pasukan tidka boleh memandang mudah cabaran Oman yang berada pada tangga FIFA yang lebih baik.
“Oman merupakan pasukan yang baik, lebih kuat daripada Malaysia. Aksi esok mereka (Oman) pasti mahu naik ke tangga teratas kumpulan. Akan tetapi, perlawanan ini penting untuk kita dan tak mahu hanya bertahan selain mahu memberikan aksi yang mengujakan buat penyokong.”
“Kita kekurangan aksi kompetitif yang memberikan kesan kepada tahap kecergasan pemain. Kita akan perbaiki apa yang boleh bagi aksi esok sungguhpun menghadapi pelbagai kekangan.”
“Pemain bagaimanapun bersemangat untuk layak ke kelompok 18 terbaik dan semangat pemain serta penyokong akan membantu kita,” ujar Pan-gon ketika ditemui di Wisma FAM.
Pemain Malaysia juga tidak mengalami kecederaan dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok.
Permainan Oman juga berubah selepas pelantikan jurulatih baharu namun Pan-gon yakin barisan kejurulatihan sudah belajar daripada kesilapan lalu.
Kemenangan berdepan Oman bakal membolehkan Harimau Malaya meraih tambahan +17.32 mata FIFA menanti Harimau Malaya dan menjadikan mata keseluruhan kepada 1121 mata untuk memintas kedudukan negara seperti The Gambia (131 dunia), Solomon Islands (132 dunia) dan Rwanda (133 dunia).
Aksi Malaysia dan Oman dijadualkan berlangsung pada 26 Mac 2024 jam 10 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).