Kim Pan-gon: Tonggak Baharu Selangor Perlu Masa Sesuaikan Diri
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon melihat sebahagian pemain baharu pasukan itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang dimahukan beliau.

Pandangan itu dibuat bekas jurulatih Harimau Malaya itu selepas melihat Selangor membelasah Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu.

Aksi tersebut menyaksikan Arbenit Xhemajli, Jefferson Tabinas, Peter Makrillos dan A. Selvan beraksi dalam kesebelasan utama. Azam Azih, Kay Tejan dan Adib Raop pula beraksi sebagai pemain gantian.

Kapten, Faisal Halim dan penjaring terbanyak pasukan musim lalu, Chrigor Moraes masing-masing mencetak dua gol baut Selangor. Philip Dandada Musa mencetak gol saguhati buat tuan rumah.

Meskipun berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan The Red Giants, Pan-gon melihat masih ada ruang penambahbaikan terutama membabitkan tonggak-tonggak baharu pasukan itu.

Beliau percaya apabila mereka semakin menyesuaikan, pemain-pemain ini akan menjadi aset utama pasukan menghadapi musim 2026/27.

“Saya fikir mereka masih beradaptasi. Mereka perlukan lebih banyak masa untuk sesuaikan diri,” katanya selepas perlawanan.

“Jadi, saya percaya jika mereka beradaptasi dengan baik, mereka boleh menyumbang kepada pasukan musim ini.”

Pan-gon turut mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana berjaya membantu Selangor meraih tiga mata pertama musim ini.

“Selalunya, perlawanan pertama (liga) bukan senang tapi saya fikir mereka bekerja keras bagi mendapatkan kita tiga mata. Saya hargai usaha keras mereka,” ujarnya.

Selepas ini, Selangor akan sekali lagi berkelana ke Pantai Timur untuk menentang Terengganu FC pada 28 Ogos ini. Terengganu turut membuka musim dengan kemenangan apabila selesa mengatasi Melaka FC 3-0.