Bekas penerjun negara, Kimberly Bong mencuri perhatian peminat sukan Malaysia apabila sah memeluk Islam pada Julai lalu.
Berita tersebut dikongsikan sendiri bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu menerusi satu hantaran di Instagram baru-baru ini.
“Cukup bangga dengan keputusan yang saya buat pada Julai lalu. Sesungguhnya salah satu daripada detik-detik paling istimewa, alhamdulillah,” katanya.
Pemilik nama sebenar Kimberly Bong Qian Ping itu turut berkongsi video beliau mengucap dua kalimah syahadah dalam hantaran yang sama.
Kimberly cukup sinonim dengan sukan terjun dan berkecimpung dalam sukan tersebut selama 15 tahun. Beliau kemudiannya memilih untuk bersara pada 2024.
Selain pingat emas Sukan SEA 2023, Kimberly juga pernah meraih pingat gangsa Sukan SEA 2017 dan pingat perak Sukan SEA 2021.
Stadium Astro turut melaporkan beliau bakal melangsungkan perkahwinan dengan penyerang DPMM FC, Danial Asri.