Kisah seorang pemain muda Malaysia bernama Iskandar menjadi sebutan akademi kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.
Pengurusan akademi Barca mengagumi komitmen Iskandar dan ibunya, Yati terhadap bola sepak. Ini kerana mereka sanggup meredah trafik dan menyeberangi Tambak Johor agar dapat berlatih dan beraksi bersama akademi pasukan itu di Singapura.
Meskipun berdepan kesukaran sebegitu rupa, itu langsung tidak mematahkan semangat Iskandar. Malah, pengurusan akademi Barcelona memaklumkan pemain muda itu sentiasa ada untuk setiap sesi.
Pihak kelab turut menyanjung komitmen Yati kerana menyokong impian puteranya itu. Ini kerana pada hemat pengurusan kelab, kisah kejayaan seseorang pemain tidak akan lengkap tanpa sokongan kuat keluarga.
Sepanjang dua tahun bersama akademi Barcelona, Iskandar menunjukkan nilai-nilai pegangan kelab itu seperti merendah diri, rajin, rasa hormat dan tabah.
Justeru, tidak hairanlah kelab mengaturkan pertemuan antara dia dan legenda Barcelona, Antonio Olmo. Olmo dianggap nama besar di Camp Nou kerana memenangi tujuh trofi termasuk Copa del Rey dan bekas kapten pasukan itu.
Pengurusan akademi Barca turut memuji pencapaian akademik yang dilakar Iskandar. Ini kerana ini menunjukkan dia mempraktikkan nilai-nilai kelab dalam semua perkara termasuk pelajaran.
Selepas kisah Iskandar disiarkan di platform rasmi akademi Barcelona, ramai peminat Malaysia merasa tersentuh dengan kisah berkenaan.