Advertising
Kisah Di Sebalik Perpindahan Hangat Baddrol Bakhtiar Ke Sabah
MakanBola
Azri Haziq / MakanBola

Bekas ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar berkongsi kisah di sebalik perpindahan ke Sabah suatu masa dahulu.

Baddrol yang merupakan lagenda bola sepak negeri Kedah menghabiskan sebahagian besar karier beliau bersama Sang Kenari sejak memulakan debut dalam Liga Malaysia.

Setelah hampir 15 tahun menyarung jersi Hijau Kuning, beliau mengambil keputusan berat untuk keluar dari zon selesa dan tiba ke Borneo untuk menyertai Sabah pada Disember 2021.

Ad

”Ramai juga yang terkejut mendengar berita ketika itu, jadi saya fikir saya nak balas jasa Ong Kim Swee yang banyak membantu saya sebelum ini,” ujar Baddrol.

Ad

“Jadi pada tahun itu, Ong Kim Swee ada hubungi saya untuk bantu beliau menaikkan semula pasukan Sabah. Sebelum itu, kita tahu Sabah berada di kedudukan bawahan.”

Baddrol turut berkongsi kisah perbualan beliau bersama Kim Swee pada tahun tersebut ketika dijemput ke sesi audio siar Bola Dulu Baru Kamu bersama hos, Zaquan Adha, Razman Roslan dan Nizaruddin Yusof.

Ad

Berdasarkan kisah Baddrol, beliau diajak oleh Ong Kim Swee untuk berpindah ke Sabah bagi mencari angin baharu namun pemain tengah itu meminta masa untuk berfikir kerana agak mengejut.

“Saya nak pindah dan mencari angin baharu” kata Kim Swee di dalam kisah yang diceritakan oleh Baddrol.

”Nak pindah ke mana, coach?” soal Baddrol kepada Kim Swee ketika itu.

”Sabah,” jawab Kim Swee kepada Baddrol.

”Wah, jauh sangat tu coach,” kata Baddrol

”Kenapa? Tak nak ikut?” soal Kim Swee

”Saya fikirkan dahulu coach,” imbas Baddrol mengenai perbualan beliau bersama Kim Swee pada tahun tersebut.

Tambah Baddrol lagi, sejak hari itu, Kim Swee kerap kali menghubungi untuk mengetahui jawapan dan akhirnya terbuka hati kerana pertolongan yang dipinta oleh bekas jurulatih kebangsaan itu.

”Selepas itu, selang tiga hari, Kim Swee akan hubungi saya semula dan bertanyakan keputusan saya dan meminta tolong daripada saya.”

”Bila dia (Kim Swee) guna perkataan tolong itu, saya rasa saya kena tolong juga, jadi saya beri keputusan selepas 3 bulan.”

”Daripada situlah saya ambil keputusan untuk berpindah ke Sabah,” luah Baddrol kepada Nizaruddin, Zaquan dan juga Razman.

Baddrol ketika ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah bagi kawasan Gurun setelah bersara dari dunia bola sepak pada 2023 manakala Ong Kim Swee kini bergelar jurulatih Persis Solo di Indonesia.