Bukan satu perkara asing kelab-kelab Liga Super menjalin kerjasama dengan kelab-kelab di luar negara bagi memantapkan perancangan pasukan termasuk pembangunan akar umbi. Terbaru, giliran KL City pula berhasrat menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab asing termasuk kelab berstatus Liga Perdana Inggeris (EPL).
Hasrat ini disuarakan oleh pemilik pasukan Azri Azerai dalam satu ciapan di Twitternya baru-baru ini. Ini selepas beliau berkesempatan meninjau dua kelab K-League 1 iaitu Gwangju dan FC Seoul semasa lawatan kerja ke Korea Selatan.
“Kita akan berusaha mewujudkan hubungan rasmi dengan sekurang-kurangnya satu pasukan dari liga-liga utama seperti EPL, La Liga, Ligue 1, Serie A, K-League 1 dan J1 League.
“(Kita) menjangkakan bakal memeterai perjanjian kerjasama dengan dua daripada liga-liga ini dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Perjanjian kerjasama sebegini bukan saja membantu KL City dari segi pembangunan akar umbi dan pertukaran dari segi kepakaran kejurulatihan. Malah, ini juga boleh memberi idea kepada City Boys dalam mewujudkan kemudahan yang lebih baik termasuk pusat latihan – satu perkara yang amat dinantikan para pemain dan jurulatih kelab, Bojan Hodak.