KL City FC bakal berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tanpa dua tonggak utama iaitu Kenny Pallraj dan Haqimi Azim Rosli.
Ini disebabkan kedua-dua pemain itu sudah mengutip tiga kad kuning. Ini bermakna Kenny dan Haqimi perlu menjalani penggantungan satu perlawanan.
Perkara ini turut disahkan pengendali The City Boys, Miroslav Kuljanac. Justeru, pengendali Croatia itu bakal merencana strategi alternatif sebelum turun menentang Sang Kenari.
“Kita perlu beraksi tanpa Kenny dan Haqimi. (Kedua-duanya sudah mengutip) tiga kad kuning, kedua-duanya menjalani penggantungan dalam perlawanan kita seterusnya menentang Kedah,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Selain Kenny dan Haqimi, KL City juga akan menilai tahap kecergasan bek tengah Montenegro, Adrijan Rudovic. Ini kerana sebelum ini Rudovic mengadu merasa tidak selesa di bahagian hamstring.
“Kita akan lihat situasi (tahap kecergasan) Rudovic. Beliau merasa (tidak selesa) di bahagian hamstring,” ujarnya.
“Kita akan nilai situasi itu. Kita ada dua hari lagi, pemain-pemain lain sudah bersedia (untuk aksi menentang Kedah).”
The City Boys berharap dapat meraih kemenangan berganda ke atas Sang Kenari dalam liga. Kedah menjadi mangsa belasahan KL City apabila tewas 5-0 di Cheras pada 14 September 2024.
Hasrat Kedah untuk mara ke suku akhir Unifi Piala Malaysia turut terbantut apabila disingkirkan KL City dengan keputusan agregat 6-4.
Kedah dan KL City bakal berentap di Stadium Darul Aman pada 7 Mac ini.